Tuesday, May 09, 2006

Arissa (Part 5)

Asalamualaikum,mama.
Mama apa kabar? Mama sihat? Arissa dan Papa sihat. Mama, Arissa rindu kat Mama. Bila Mama nak balik? Mama tak rindu kami? Hari tu, Arissa gaduh dengan Daniel. Daniel cakap Arissa tak ada Mama. Mama balik lah...Nanti Arissa boleh tunjuk dekat Daniel.
Arissa dah janji dengan Papa yang Arissa tak nak gaduh lagi. Papa kata nanti Arissa jadi samseng. Arissa tanak jadi samseng. Ok lah mama.. Nanti Arissa tulis surat lagi,ok?Arissa nak tidur. Besok Arissa nak pergi sekolah. Jaga diri ok?

Love, Raja Nur Arissa Saffiyah.

Begitulah isi kandungan surat Arissa untuk mamanya. Aku sempat membacanya ketika menjenguk Arissa di kamar tidur. Surat itu terletak diatas meja tulis. Aku kira dia baru sahaja selesai menulis sebelum dia masuk tidur. Di kaki surat itu penuh dengan lukisan hati yang Arissa lukis dengan 'crayon'. Mungkin mahu tunjuk kebolehan melukis pada mamanya. Tetapi dalam senyuman, aku pilu dan marah pada diri sendiri. Haruskah cara ini berterusan?

Esoknya, rutin kami dua beranak seperti biasa. Pulang dari sekolah, Arissa ke rumah neneknya,mandi,makan tengahari, membuat kerja sekolah dan mengaji. Kadang-kadang Usu ada untuk bermain dengan Arissa. Usu atau Fairuz adalah adik lelakiku yang bongsu. Semasa Arissa kecil, kami mengajar Arissa untuk membahasakan Fairuz sebagai Pak Su, sepertimana Arissa memanggil Farah dengan panggilan Mak Ngah.Tetapi Arissa lebih senang memanggilnya Usu. Kedua-dua adikku rajin melayan karenah Arissa ketika berada di umah nenek dan datuknya. Lebih-lebih lagi Fairuz kerana Fairuz tidak pernah mempunyai adik. Setiap kali 'Usu' pulang dari MMU untuk cuti semester, Arissa lah orang yang paling gembira. Akan dikerahnya Fairus membawanya berjalan-jalan ke taman permainan berhampiran dan setiap kali pulang dari taman permainan, Arissa tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya mesti ada sebiji dua gula-gula
dalam tangannya.

Selesai urusan di pejabat petang itu, aku pulang untuk mengambil Arissa di rumah neneknya seperti biasa. Tetapi sebaik sahaja sampai , ibuku memberitahu Arissa pergi ke taman permainan dengan Fairus. Sementara menunggu Arissa pulang bersama 'Usu'nya, aku mengambil keputusan untuk minum petang bersama ibu dan bapaku. Jarang sekali aku mendapat peluang untuk minum petang bersama mereka sejak kebelakangan ini. Bapaku yang ku panggil baba yang membina rumah ini 15 tahun yang lalu. Rumah banglo dua tingkat empat bilik,tiga bilik di tingkat atas dan satu lagi bilik untuk tetamu di tingkat bawah. Dekorasi luar dan dalam banglo ini semuanya Baba serahkan pada Mama,ibuku. Kedua orang tuaku gemar minum petang bersama di pondok yang dibina di tengah laman. Ada kerusi dan meja ukiran kayu di bawah pondok itu untuk bersantai. Suasana hijau dengan haruman bunga-bunga dan aroma pokok herba yang Mama tanam di sekitar laman membangkitkan rasa tenang dan menyenangkan.

Baba sedang membaca suratkhabar, sementara Mama menuang air teh o panas ke dalam cawan. "Esok cuti hujung minggu, abg buat apa?" tanya Mama kepada ku. Mama kemudian menghulurkan sepinggan goreng pisang panas. 'Ah,sedapnya!' bisik hatiku lalu mengambil sekeping goreng pisang tadi.

"Takdak buat apa-apa. Duduk dua beranak kat rumah la dengan Arissa. Awatnya?" tanyaku. Goreng pisang sudahku suakan ke dalam mulut sambil menunggu kata-kata seterusnya dari Mama. Sesekali aku menjeling ke arah Baba , menunggu gilirannya untuk berkata sesuatu. Sejak dari tadi dia sibuk membaca akhbar.

"Besok kami nak ajak semua pi makan-makan kat luar. Anniversary Mama dengan Baba," Mama menjeling ke arah Baba. Baba sedar dirinya diperhatikan kemudian meletakkan suratkhabarnya ke tepi. Baba menghirup air teh dari cawannya perlahan. "Mama hang punya idea," akhirnya Baba berkata-kata. Mama tersenyum.

"Nak pi makan kat mana? Makan ja ka? Tengok wayang tak mau?Bila lagi kita anak-beranak nak pi tengok wayang sama-sama?" aku mengusik orang tuaku.Goreng pisang panas sudah tinggal setengah pinggan.

"Hish, hang! Tak mau la pi tengok wayang! Dah tua-tua ni tak kena langsung pulak nak pi tengok wayang.."Mama menjuihkan bibirnya. Baba ketawa kecil. "Esok pukul satu macam tu ka, hang datang Sunway Piramid no.. Kita jumpa dekat Nando's," kata Mama lagi.

'Vroom..'. Tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motor RXZ mengaum dan menghampiri pintu pagar rumah. Dari jauh sudah ku kenal siapa empunya motor itu. Aku kira Mama dan Baba pun begitu. Fairuz dan Arissa sudah pulang. Fairuz menurunkan Arissa yang duduk dihadapannya kemudian Arissa berlari mendapatkan kami di bawah pondok ini. "Papa!!" jeritnya dari jauh. Dia menjinjing beg plastik berisi gula-gula. Fairuz menuruti Arissa . Setibanya Arissa di dalam pangkuanku, dia mencium pipi kiriku. Manja.

"Mana pi anak Papa ni,ha?" tanyaku. Dia membalas dengan sengeh yang menampakkan giginya yang putih dan tersusun.

Fairuz pula sudah meletakkan punggung disalah sebuah kerusi dan mencapai goreng pisang yang sudah tinggal 5 keping.

"Dia pau Usu sampai 3 ringgit tadi,nanti Usu claim ngan papa," kenyit Fairuz kepadaku. Aku mengacah Fairus dengan menunjukkan penumbuk kepadanya.

"Papa,jangan jadi samseng!" tegur Arissa. 'Adoi...terkena balik',bisik hatiku. Mama, Baba dan Fairus mentertawakan kami. Aku pun turut ketawa. Anak Papa dah pandai.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home