Sunday, May 07, 2006

Arissa (Part 4)

Sudah 2 bulan Arissa masuk ke alam persekolahan. Sepanjang waktu itu
juga aku banyak belajar membahagikan masa. Akhirnya, setelah dua bulan
berlalu, aku berjaya menyusun atur jadual harian kami dua beranak Pagi,
aku akan menghantarnya ke sekolah, kemudian terus menuju ke pejabat.
Tengahari, sekiranya aku tidak dapat mengambil Arissa pulang dari
sekolah, aku akan menyuruh Farah, adik ku, untuk menjemputnya. Lagipun butik Farah lebih kurang 5 minit dari sekolah Arissa. Selepas mengambil Arissa pulang dari sekolah, dia akan terus dihantar ke rumah datuk dan neneknya untuk mandi, makan tengahari dan mengaji Al-Quran. Neneknya sendiri yang mengajarnya mengaji Al-Quran. Aku pun akan makan tengahari disitu jika tidak ada temujanji dengan klien yang mengajak aku untuk makan
tengahari. Arissa akan tinggal dirumah datuk dan neneknya sehinggalah aku pulang dari kerja pada waktu petang dan menjemputnya pulang ke rumah.

Arissa juga sudah biasa dengan jadual ini. Dia juga pandai menyusun
jadualnya sendiri. Tidak perlu diajar. Dia punya rutinnya sendiri setiap
hari. Ketika di rumah ibu bapaku, dia akan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh cikgu. Jadi apabila dia pulang ke rumah dia dapat meluangkan masa denganku kerana dia tahu segala penatku akan hilang apabila mendengar celotehnya ketika aku menonton TV. Kadang-kadang, jari jemarinya yang kecil dan mungil akan mengurut-urut bahu aku yang keletihan. "Kesian kat papa. Banyak kerja ka? Mai Arissa tolong urutkan bahu papa, ok?" katanya.Cerdik. Pandai mengambil hati.

Arissa juga sudah pandai bertanya pelbagai soalan. Adakalanya soalannya nguji diri aku agar tidak salah memberi jawapan. "Arissa tak pernah nampak pun posmen hantaq surat mai rumah kita, mai kot mana mama kirim surat ni pa?" soalnya pada suatu malam ketika kami sedang menonton TV di rumah. Ketika itu dia baru sahaja selesai membaca surat dari mamanya.

"Masa posmen tu hantaq surat tu, kan Arissa kat rumah atuk, mana la Arissan nak
nampak posmen tu mai rumah kita ni ke dak," jawabku selamber sambil tersengih.

"Ha kan? Lupa plak dah..hehe," dia tersengih. "Papa tak rindu kat mama?" tanya Arissa lagi ketika dia menyimpan suratnya dalam sebuah kotak kasut warna putih. Ada lukisan hati bertaburan diatas kotak itu. Arissa yang melukisnya sendiri. Di dalam kotak itulah Arissa mengumpul dan menyimpan surat-suratnya.

"Rindu,"jawabku sambil tersenyum tawar.

"Mama ada hantaq mai surat pada papa jugak?" aku hampir ketawa apabila
mendengarnya.Kali ini Arissa sudah berada di ribaanku minta dipeluk.

"Ada," perlahan suaraku menjawab soalanya itu. Aku menyisir rambutnya
dengan jari. Rambut Arissa lurus dan panjang melepasi bahu. Aku sayang hendak memotongnya kerana dia lebih comel begitu.

"Arissa nak tulis surat kat mama la, pa. Arissa nak habaq kat mama yang Arissa ngan papa rindu kat mama. Rindu sangat! Lepas tu, Arissa nak suruh mama balik jumpa Arissa. Lepas tu boleh la Arissa bawak mama mai sekolah. Arissa nak tunjuk kat Daniel yang Arissa ada mama macam orang lain jugak! Semalam, dia habaq lagi yang Arissa takdak mama. Arissa cakap balik
dekat Daniel, kalau Arissa takdak mama macam mana Arissa nak ada?Padan muka dia,kan pa? Kan?" beritahu Arissa panjang lebar. Mukanya masam.

"Tak baik bertengkaq macam tu. Papa tak ajaq anak papa macam ni. Macam
samseng. Arissa nak jadi samseng?" tegurku.

Dia menoleh kepadaku. Renungannya dalam. Air mukanya berubah. Mungkin
mula menyedari dan merasa bersalah dengan kelakuannya disekolah. Kemudian dia menggeleng kepala. "Tak mau jadi samseng.." jawabnya perlahan.
"Sorry papa, tak buat lagi,"katanya.

"Betui ni? Janji?" aku bertanya lagi. "Janji," dia memeluk leherku. Aku melihat jam dinding. Sudah pukul 10 malam. Waktu tidur Arissa. Kalau dia lambat tidur, alamat susah la aku nak mengejutnya ke sekolah esok pagi.

"Dah pukul 10 ni. Arissa pi tiduq ok? Esok sekolah. Satgi jenoh pulak papa
nak gerak Arissa bangkit pagi," aku mengusap kepalanya.

Dia bangkit dari ribaanku dan mengambil kotak kasutnya. Sebelum dia
mendaki anak tangga menuju ke bilik, dia mengucup tanganku. "Assalamualaikum papa, goodnight" katanya. Aku mengikut pergerakannya dengan ekor mataku,takut kalau dia terjatuh ketika mendaki tangga. Tiba dipertengahan tangga rumah Arissa berhenti dan pusing memandang aku. "Papa, lagu mana Arissa nak tulis surat kat mama. Arissa tak tau alamat mama," keningnya berkerut. 'Kotak kasut hikmat' tetap tersisip dilengannya.

"Esok Arissa tulis, lepas tu bawak mai dekat papa. Papa poskan. Papa
tulis alamat mama nanti," kataku.

Dia tersenyum kemudian kembali melangkah meniti anak tangga ke kamar tidurnya di tingkat atas. Aku menyoroti langkahnya yang meninggalkan aku seorang diri di hadapan TV di ruang tamu. TV aku matikan. 'Ya, esok rutinnya seperti biasa,Arissa,' bisik hati kecilku.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home